Wednesday, January 7, 2009

puasa hari 'asyura

Penghijrahan junjungan besar nabi Muhammad SAW daripada Mekah ke Madinah merupakan satu pengorbanan dan usaha yang cukup besar yang telah dilakukan oleh baginda kita nabi Muhammad SAW dalam sejarah penyebaran Islam. Tekanan musuh islam terhadap umat Islam begitu teruk sekali sehinggakan para sahabat menempuh dengan mengalirkan darah merah, penghinaan dari bibir jahiliah ke atas kesucian Islam ditempuh dengan penuh kesabaran, kecekalan, dan penuh dengan ketaqwaan.
Pengorbanan yang telah dilakukan oleh baginda dan para sahabat dalam usaha untuk memartabatkan agama ALLAH diatas muka bumi jauh sekali jika hendak dibandingkan dengan pengorbanan yang tidak seberapa yang telah kita lakukan bagi mencapai apa yang telah ditentukan dalam Islam.
Taqwim Maal hijrah merupakan salah satu di antara keizzahan umat Islam yang patut dipertahan oleh seluruh umat. Melihat kepada betapa perlu kita untuk memiliki keizzahan. Maka Para sahabat telah memutuskan agar menjadikan taqwim maal hijrah salah satu perkara yang mampu memelihara dan membezakan agama yang suci ini dengan agama-agama lain, sebagai satu agama yang mempunyai keizzahan yang tersendiri. Hijrah agung dijadikan sebagai permulaan tahun bagi umat Islam, ini adalah bertujuan untuk membezakan kelendar masihi yang mengambil kira dengan tarikh kelahiran nabi Isa AS sebagai permulaan tahun bagi agama nasrani
Awal muharram merupakan bulan pertama dalam taqwim Islam, di dalamnya terdapat satu hari yang cukup diambil berat oleh Baginda Nabi Muhammad SAW. Pada hari tersebut Nabi Muhammad SAW telah menunaikan ibadah puasa. Hari yang dimaksudkan itu ialah hari a'syura. Nabi pernah bersabda:
يوم عاشوراء إن شاء صام
Yang bermaksud: " Pada Hari A'syura sekiranya kamu hendak berpuasa, berpuasalah".
Begitu juga dapati masyarakat Quraisy pada ketika dahulu berpuasa pada hari tersebut, Ibnu al-A'raby telah meriwayatkan bahawa hari tersebut dipanggil dengan خابوراء. Pada Hari A'syura kita digalakkan berpuasa, sebagai satu ibadat sunat yang mendekatkan diri kepada ALLAH. Ibnu Abbas pernah meriwayatkan bahawa ketika nabi Muhammad SAW tiba di Madinah maka Nabi Muhammad SAW telah melihat golongan yahudi di Madinah berpuasa pada hari tersebut, maka Nabi Muhammad SAW telah bertanya kepada mereka, "Apa ini? (hari apakah ini)?" Maka mereka menjawab, "Hari ini (يوم صالح) , pada hari inilah ALLAH telah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka (Firaun dan tenteranya), maka Nabi Musa AS telah berpuasa pada hari tersebut," Maka nabi Muhammad SAW bersabda, "Aku lebih layak daripada kamu (Yahudi) untuk mengikut Nabi Musa AS." Maka Nabi Muhammad SAW telah berpuasa pada hari tersebut dan Nabi Muhammad SAW telah memerintahkan agar berpuasa pada hari tersebut. Sila rujuk nota kaki.
Dan hadis daripada ummu al-mukminin Aisyah RA telah berkata:
كان يوم عاشوراء تصومه قريش في الجاهلية, وكان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصومه في الجاهلية , فلما قدم المدينة صامه وأمر بصيامه , فلما فرض رمضان ترك يوم عاشوراء , فمن شاء صامه ومن شاء تركه
Yang bermaksud:"Masyarakat jahiliah pada ketika dahulu telah berpuasa pada hari a'syura, dan begitu juga dengan Nabi Muhammad SAW juga pernah berpuasa pada hari tersebut, ketika mana nabi Muhammad SAW tiba di Madinah nabi Muhammad SAW juga telah berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan agar para sahabat juga berpuasa, dan apabila diwajibkan berpuasa pada bulan ramadhan maka Nabi Muhammad telah meninggalkan puasa pada hari a'syura, maka sesiapa yang hendak berpuasa, berpuasalah dan sesiapa yang ingin meninggalkannya maka tinggalkanlah."Hukum melaksanakannyaUlama' telah bersepakat mengatakan bahawa hukum berpuasa pada Hari A'syura adalah sunat dan tidak diwajibkan. Para ulama' telah berselisih pendapat pada menentukan apakah hukumnya diawal pemulaan islam sebelum difardhukan ibadat puasa dibulan ramadhan. Baginda Nabi Muhammad SAW pernah berpuasa ketika masih berada di Mekah. Begitu juga masyarakat Quraisy pada ketika itu.
Pendapat pertamaAbu Hanifah berpendapat: Berpuasa pada Hari A'syura sebelum difardhukan ibadah puasa di bulan Ramadhan adalah wajib.
Pendapat keduaBegitu juga ulama' yang bermazhab Syafi'e telah berselisih pada menyatakan hukumnya kepada dua pendapat, yang paling jelasnya disisi mereka ialah: Berpuasa pada Hari A'syura adalah sunat ketika disyariatkan dan bukannya wajib secara pasti ke atas ummat Islam.
Pendapat kedua bagi mereka seperti mana pendapat Imam Abu Hanifah. Namun kita dapati pendapat Imam Al-Qadi I'yad mengatakan: Hukum berpuasa pada Hari A'syura adalah wajib, ianya kekal dan tidak dihazafkan.
Berpuasa pada hari yang kesembilan dan kesepuluh
Berdasarkan kepada hadis Ibnu Abbas (مرفوعا):
"لئن بقيت الى قابل لأصومن التاسع" اسناد جيد رواه مسلم
Yang bermaksud: "Demi sekiranya aku dihidupkan lagi pada tahun akan datang nescaya pasti aku akan berpuasa pada hari yang kesembilan"
Berdasarkan kepada hadis di atas, Nabi Muhammad SAW telah berpuasa pada hari yang kesepuluh dan baginda sendiri telah berniat untuk berpuasa pada hari yang kesembilan pada tahun kemudiannya. Imam Syafi'e dan pengikutnya, Ahmad, Ishak, serta selain daripada mereka telah berpendapat, Sunat kita berpuasa pada hari yang kesembilan dan kesepuluh dalam bulan muharam secara berturutan. Antara sebab disunatkan berpuasa pada secara berturutan ialah supaya tidak menyerupai kaum Yahudi yang berpuasa hanya pada Hari A'syura sahaja.
Sesungguhnya Ismail Bin Umayyah telah mendengar Abu Ghadfan Bin Thorif berkata yang bermaksud:"Aku telah mendengar Ibnu Abbas RA telah berkata: ketika mana Rasulullah SAW telah berpuasa pada Hari A'syura dan baginda memerintahkan agar berpuasa pada hari tersebut, maka mereka berkata: Wahai Rasullullah! Sesungguhnya Hari A'syura satu hari yang diagungkan oleh bangsa Yahudi dan Nasrani (kristian), maka Rasullulah telah bersabda: Maka sekiranya adalah sempat lagi aku pada tahun hadapan insyaAllah kita berpuasa pada hari yang kesembilan." (Rujuk Sahih Muslim Syarah Imam Nawawi)
Daripada Hamid Bin Abdulrahman bahawa beliau telah mendengar Maa'wiyah Bin Abi Sufian RA pada Hari A'syura beliau telah pergi menunaikan haji kemudian beliau telah berkhutbah di atas mimbar: Wahai masyarakat Madinah! Di manakah ulama' kalian? Aku telah mendengar baginda Rasulullah telah bersabda:
هذا يوم عاشوراء ولم يكتب عليكم صيامه وأنا صائم , فمن شاء فليصم ومن شاء فليفطر
"Hari ini adalah Hari A'syura, dan ALLAH Taala tidak mewajibkan ke atas kamu sebagaimana puasa Ramadhan dan pada hari ini aku berpuasa, sesiapa yang ingin berpuasa maka berpuasalah dan sesiapa yang ingin berbuka, maka berbukalah."
Kesempatan ibadat yang telah diberikan ALLAH S.W.T kepada hambanya adalah bukan sia-sia,malahan ia merupakan salah satu daripada perkara yang terpenting dalam meningkatkan hubungan dengan ALLAH S.W.T. Disamping itu, ia juga dapat menjadikan seseorang hamba yang benar-benar ikhlas dalam pekerjaannya. Hikmah berpuasa yang telah disebut oleh para ulama' sangat banyak dan antaranya ialah menahan nafsu syahwat daripada perkara mungkar. Melihat kepada zaman yang begitu mencabar, khususnya kepada generasi pemuda, saban hari semakin bertambah hidangan daripada pihak yahudi durjana untuk memusnahkan generasi ummat islam. Generasi muda menjadi item yang cukup terpenting dalam membentuk gerakan kebangkitan islam. Justeru itu kita juga melihat betapa pentingnya generasi pemuda pada masa kini memperbanyakan amal ibadat agar mampu memperteguhkan keimanan islam dalam jiwa.
Ayuhlah semua teman-temanku! Jangan kita biarkan pensyariatan amal ibadat ditengalami dek ombak kemaksiatan yang sentiasa mencari mangsa yang longgar pegangannya. Jadikanlah amalan berpuasa pada a'syura sebagai program tahunan untuk diri kita yang hanya diberi peluang kepada sesiapa yang layak menerimanya. Sesungguhnya ALLAH akan memberi petunjuk kepada sesiapa sahaja dan akan menyesatkan sesiapa sahaja.
Sumber: www.edpmt.org

1 comment:

inaz said...

salam amy

cihat? :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...