Wednesday, August 11, 2010

keberkatan makan sahur...

بسم اللّه الرحمن الرحيم


bangun2!!!...jom sahur!!!
dh nak imsak dh nie...


BERSAHUR untuk berpuasa termasuk sunnah Nabi Muhammad saw. Sahur bermaksud makanan atau santapan yang diberkati. Bersumber daripada Aisyah, beliau berkata: “Rasulullah saw bersabda: - Bawalah kepadaku santapan yang diberkati itu, iaitu sahur. Kadang-kadang Rasulullah makan sahur hanya dengan dua biji kurma."

Rasulullah menganjurkan supaya makan sahur melalui sabdanya bermaksud: “Makan sahurlah kerana sesungguhnya dalam makan sahur itu ada berkat.

Termasuk sunnah Rasulullah ialah mengakhirkan sahur. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Darda, Rasulullah bersabda maksudnya: “Makan sahurlah pada akhir malam.

Diterangkan pula, Rasulullah biasanya makan sahur kemudian terus keluar untuk bersolat.


Hikmah sahur dan fadilat mengakhirkannya disebut oleh Rasulullah antara lainnya:

l Ia mempunyai unsur berkat. Makanan apa pun yang mengandungi berkat akan membantu seseorang dalam mentaati perintah Allah;

l Untuk membezakan antara puasa yang dijalankan dengan puasa ahlil kitab.

Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadis sahih yang bersumber daripada Amru Ibnu bahawa sesungguhnya Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dengan puasa ahlil kitab ialah pada makan sahurnya."; dan

l Untuk membantu puasa itu sendiri seperti dijelaskan hadis yang bersumber daripada Ibnu Abbas dan diriwayatkan oleh Ibnu Majah bermaksud: “Mintalah bantuan makan sahur untuk mengatasi puasa pada siang hari. Dan mintalah bantuan istirahat sebentar pada siang hari agar kuat menjalani ibadah pada malam harinya.

Dianjurkan bersahur bukan bererti makan sebanyak-banyaknya. Apa yang penting untuk mendapatkan fadilat serta sunnahnya, walaupun dengan makan sedikit.

Dalam hadis Jabir ditegaskan bahawa Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Barang siapa yang akan puasa hendaklah dia makan sahur, sekali pun hanya sedikit.


Ulama turut membahaskan bilakah waktu yang paling afdal untuk bersahur.

Daripada hadis, ulama membuat kesimpulan bahawa adalah lebih afdal melewat-lewatkan sahur hingga betul-betul hampir masuk waktu fajar.

Imam al-Baihaqi melalui sanad sahih menyebut “adalah sahabat-sahabat Nabi Muhammad itu orang yang menyegerakan berbuka puasa dan melewat-lewatkan sahur.”

Nabi juga pernah bersabda, maksudnya: “Sentiasalah umatku itu dalam keadaan kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka dan melambat-lambatkan sahur.”

Sebenarnya waktu bersahur itu adalah luas bermula dari waktu malam hari hingga masuk waktu fajar dan yang lebih afdal ialah ketika waktu Subuh hampir masuk.

Satu daripada amalan umat Islam di Malaysia ialah berhenti makan lebih kurang 10 minit sebelum azan Subuh yang disebut sebagai Imsak.

Kebanyakan daripada kita cukup berhati-hati supaya tidak melewati waktu Imsak untuk memastikan tiada sisa makanan dalam mulut.

Berkaitan dengan waktu Imsak, sebenarnya ada satu hadis yang menunjukkan adanya amalan itu.

Anas meriwayatkan daripada Zaid bin Thabit: “Kami telah bersahur bersama-sama dengan Nabi, kemudian Baginda bangun untuk mengerjakan solat. Aku (Anas) bertanya, berapa lama tempoh antara azan dengan sahur itu? Zaid menjawab sekadar bacaan 50 ayat al-Quran.

Hadis itu menjelaskan bahawa Nabi Muhammad berhenti makan sahur dalam kadar masa anggaran jika dibaca ayat-ayat al-Quran itu untuk 50 ayat.


sumber : website jais

Tuesday, August 10, 2010

ahLan Ya rAmaDhan kArim

assalamualaikum w.b.t.


SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN KARIM
UNTUK SEMUA UMAT ISLAM

SEMOGA RAMADHAN TAHUN INI LEBIH BERMAKNA
DAN
MEMBAWA 1001 PENGERTIAN DALAM DIRI.

ramadhan karim menjelang lagi,
hayatilah dengan sepenuh hati,
keredhaan dan maghfirah Ilahi yang dicari,
semoga kita sentiasa diberkati.







"apabila datang bulan Ramadhan,maka akan terbuka pintu syurga,
tertutup pintu neraka,dan syaitan-syaitan akan dibelengu atau dirantai"

(hadith riwayat Muslim r.a)


Monday, July 19, 2010

sujud syukur dan sujud tilawah

SUJUD TILAWAH DI LUAR SEMBAHYANG


Sepertimana yang telah dijelaskan bahawa sujud tilawah itu sunat juga dilakukan di luar sembahyang iaitu setelah selesai menghabiskan bacaan ayat sajdah atau mendengarnya, jika hendak melakukan sujud tilawah hendaklah berniat sujud tilawah kemudian bertakbir iftitah seperti takbiratul ihram dalam sembahyang.


Niat sujud tilawah ini adalah wajib bersandarkan kepada hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi
wasallam :

Maksudnya: “Sesungguhnya amal perbuatan itu hanyalah dengan niat”

Begitu juga dengan takbir iftitah hukumnya adalah wajib kerana ia adalah merupakan syarat sujud tilawah itu menurut pendapat al-ashah.

Di samping berniat di dalam hati ia juga disunatkan melafazkan niatnya itu, seperti:

Ertinya:“Sahaja aku melakukan sujud tilawah kerana Allah Ta‘ala”

Kemudian itu bertakbir sekali lagi untuk melakukan sujud tanpa mengangkat tangannya. Apabila hendak bangun dari sujud adalah disunatkan ketika mengangkat kepalanya dengan bertakbir.

Adalah disunatkan menurut pendapat al- shahih memanjangkan bacaan takbir yang kedua ketika hendak sujud sehingga ia meletakkan dahinya ke tempat sujud, dan juga bagi takbir yang ke tiga ketika bangkit dari sujud sehingga duduk semula.(Al-Majmuk 3/561) .

Setelah ia bangun dari sujud maka disudahi dengan salam iaitu dalam keadaan dia duduk tanpa bertasyahhud. Salam menurut pendapat al-azhar adalah wajib kerana ia merupakan syarat sebagaimana di dalam kitab Syarah Al-Minhaj.

Kesimpulannya perkara yang dituntut yang juga merupakan rukun sujud tilawah bagi yang melakukannya bukan di dalam sembahyang ialah niat sujud, takbir seperti yang dilakukan ketika hendak mengangkat takbir untuk menunaikan sembahyang, sujud dan juga salam.

Perlu diingat bahawa untuk melakukan sujud tilawah di luar sembahyang ini tidak disunatkan bangun dari duduk untuk berdiri (qiam) kemudian melaksanakan sujud, bahkan memadailah hanya dalam keadaan duduk. Sementara itu jika dia dalam keadaan berdiri maka dilakukan takbiratul ihram dalam keadaan berdirinya itu kemudian membaca takbir dan sujud.(At-Tibyan Fi Adab Hamalatil Quran 118)

BACAAN ATAU ZIKIR KETIKA SUJUD TILAWAH

Adalah sunat hukumnya membaca zikir ketika di dalam sujud tilawah. Di antara zikir yang di galakkan itu ialah: Ertinya: “Telah sujud wajahku kepada (Allah,Zat) yang Menciptakannya, yang Membentuknya dan yang Membuka pendengarannya serta penglihatannya dengan daya dan kekuatanNya maka Maha berkat (serta maha tinggilah kelebihan) Allah sebaik-baik Pencipta”

Dan zikir yang lain sebagaimana yang di sebut dalam hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya : “Ya Allah tuliskan bagi ku dengan sujud ini pahala dan jadikanlah sujud ini berharga di sisiMu dan hindarkanlah daripadaku dosa dengannya terimalah ia daripadaku sepertimana Engkau menerima sujud hambaMu Daud” (Hadis riwayat Al-Tirmidzi dan lainnya dengan sanad yang hasan)

Sementara itu Al-Ustaz Ismail Al-Dharir di dalam tafsirnya menaqalkan bahawa Imam Asy-Syafi‘ie memilih untuk diucapkan di dalam sujud tersebut :


Ertinya: “Maha suci tuhan kami, sungguh janji Tuhan kami tetap terlaksana”

Walau bagaimanapun adalah harus dibawakan zikir yang biasa digunakan di dalam sujud sembahyang.

Menurut Imam Al-Qalyubiy bahawa sujud tilawah atau sujud syukur itu boleh diganti dengan zikir berikut bagi orang yang tidak melakukan sujud walaupun ia suci dari hadas (dalam keadaan berwudhu) seperti ucapan:


Ertinya:“Maha suci Allah dan segala puji-pujian bagiNya, tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Allah itu Maha Besar”.

Dibaca zikir tersebut sebanyak empat kali kerana ia boleh menggantikan tempat tahiyatul masjid.(Al-Fiqhu Al-Islami Wa Adillatuhu 1136)


APA DIA SUJUD SYUKUR ITU ?


Sujud syukur ialah sujud untuk menyatakan terima kasih atas nikmat yang dilimpahkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala atau atas terhindarnya seseorang dari malapetaka.


HUKUM SUJUD SYUKUR


Jumhur ulama berpendapat bahawa sujud syukur itu adalah sunat berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdur Rahman bin Auf katanya yang maksudnya :

“Sewaktu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju ke dalam bangunan-bangunan tinggi lalu memasukinya. Kemudian Baginda menghadap kiblat dan sujud, dan memanjangkan sujud Baginda. Kemudian Baginda mengangkat kepalanya seraya bersabda: “Sesungguhnya Jibril mendatangiku dan memberi khabar gembira kepadaku. Jibril berkata:“Sesungguhnya Allah mengatakan kepada engkau: “Siapa yang memberi selawat ke atas engkau Aku akan memberi selawat kepadanya dan siapa yang memberi salam kepada engkau, Aku akan memberi salam kepadanya” Lalu saya bersujud sebagai tanda syukur kepada Allah”.
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Dalam hadis yang lain pula yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan selainnya bahawa Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam jika sampai kepada Baginda sesuatu perkara yang menggembirakannya, Baginda akan melakukan sujud.(Syarah Al-Minhaj)

Sujud syukur di dalam mazhab Asy-Syafi‘ie tidak boleh dilakukan di dalam sembahyang. Ianya hanya sunat dilakukan di luar sembahyang ketika seseorang mendapat limpahan rahmat daripada Allah atau terhindar daripada malapetaka.

Di antara sujud yang dikategorikan sebagai sujud syukur ialah sujud selepas membaca ayat 25 daripada surah Shad iaitu:

Tafsirnya: “Maka Kami mengampuni kesalahannya. Sesungguhnya dia dekat dari Kami dan mempunyai tempat kembali yang baik”.

Dari itu sujud kerana ayat ini tidak boleh dibuat di dalam sembahyang kerana sujud pada ayat di atas adalah atas dasar syukur dan sujud syukur tidak boleh dilakukan di dalam sembahyang. Jika dia sujud maka batallah sembahyangnya menurut pandapat al-ashah, kecualilah jika ia tidak mengetahuinya atau ia terlupa.

BAGAIMANA SUJUD SYUKUR DILAKSANAKAN ?

Sujud syukur dilaksanakan sama halnya seperti melakukan sujud tilawah ketika ia dilakukan di luar sembahyang iaitu berniat untuk melakukan sujud syukur,takbir,sujud dan juga salam.

Syarat-syarat sahnya juga sama seperti syarat-syarat yang terkandung di dalam sujud tilawah iaitu suci dari hadas kecil dan besar, menutup aurat dan menghadap kiblat.

Dari segi zikir yang sunat dibaca ketika sujud syukur ini adalah sama seperti zikir-zikir yang telah dijelaskan di dalam sujud tilawah.

Begitulah cara Islam mengajarkan kita bagaimana cara mensyukuri nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala atau terlepas daripada bala. Di samping sunat melaksanakan sujud syukur disunatkan juga bersedekah dan melakukan sembahyang sunat syukur. ( Mughni Al-Muhtaj 1/219).
Menurut Al-Khawarizmi pula, jika ia menggantikan tempat sujud itu dengan bersedekah atau sembahyang dua rakaat maka itu adalah yang lebih baik.

Menurut Imam Al-Ramli bahawa sujud syukur itu terluput waktunya jika jarak di antara sujud itu dan sebabnya terlalu lama.
PENUTUP

Sujud tilawah dan sujud syukur seperti yang dijelaskan di atas merupakan satu ibadat yang tuntutannya adalah sunat. Cara melakukannya pun mudah tetapi nilainya tinggi di sisi Allah sepertimana yang dijelaskan oleh hadis Baginda tentang kelebihan sujud tilawah. Dari itu, sayugialah diingatkan supaya jangan dilepaskan peluang melakukan ibadat sujud ini, walaupun ia hanya merupakan tuntutan sunat tetapi dengan melakukannya bererti kita menghidupkan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan dan tidak mengabaikan ajaran Islam.

Friday, August 21, 2009

RAMADHAN

KELEBIHAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-


PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.


Biografi

1. Kitab Fadhailul Awqat oleh imam Al-Baihaqi,ditahqiq oleh Adnan Abdul Rahman MajidAl-Qaisi,Maktabah Al-Mnarah,Makkah.

2. Fathul Bari syarah sohih Bukhari oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani

3. Syarah sohih Muslim oleh imam An-Nawawi.


sumber: http://www.ashtech.com.my

Wednesday, August 5, 2009

natijah...oh...natijah

assalamualaikum...
TAHNIAH
buat kwn2 yg najah...
yang berjaya melepasi segala keluh kesah...
bagi yg tidak...
teruskan usaha lebih gigih utk next year...
jgn ptus asa...cuba lagi...
'sesungguhnya Allah bersama2 org yg sabar'
bagi yang tak kua lagi same2 lah kite berdoa smoga
kejayaan menjadi milik kita bersama...
*******
betullah kata org penantian satu penyeksaan...
sesak sungguh jiwa dan raga...
menanti sesuatu yg belum pasti...
ape pn sbg hambaNYA...
aku hanya mampu bertawakal setelah usaha yang telah aku laburkan...
semoga DIA berikan aku natijah yg terbaik utk hambaNYA...
dan semoga DIA menjadikan aku hambaNYA yg redha dgn segala ketentuan...
ya Allah permudahkanlah urusan natijahku ya Allah...
P/s: kembang kuncup idong tgu result xkua2 lg...
nanti dan terus menanti...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...